DUN Peg. Pasir: Penamaan calon 27 November.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir, Kelantan ditetapkan pada 27 November dan pengundian pada 6 Disember. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan di Putrajaya pagi tadi.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir, Kelantan ditetapkan pada 27 November dan pengundian pada 6 Disember. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan di Putrajaya pagi tadi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 55, dari PAS pada 31 Okt akibat kanser hati.
Pada pilihan raya umum lepas Wan Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional Hanafi Mamat dengan majoriti 55 undi.
Pengkalan Pasir adalah antara 24 kawasan daripada 45 kerusi DUN Kelantan yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum itu manakala 21 lagi dimenangi oleh BN.
Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas SPR bagi membincang dan menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu berkata, daftar pemilih induk tahun lepas yang telah dikemas kini sehingga 15 Ogos lepas akan digunakan untuk pilihan raya berkenaan.
"Mereka yang mendaftar sehingga 30 Jun layak mengundi. Mereka yang daftar lepas 30 Jun, tidak boleh mengundi...tidak sempat," katanya.
Beliau berkata seramai 18,411 pemilih termasuk 195 pengundi pos, layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu.
Abdul Rashid berkata tempoh berkempen ialah selama sembilan hari mulai dari tarikh penamaan calon.
"Kita panjangkan sikit tempoh dari sekarang sehingga tarikh penamaan calon iaitu ada 20 hari bagi memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat untuk membuat persediaan dan persiapan," katanya.
Beliau mengingatkan semua anggota dan petugas parti yang bertanding agar sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila kempen yang telah ditetapkan.
"Kempen ini akan dipantau oleh satu pasukan penguatkuasa pilihan raya yang akan ditubuhkan oleh SPR untuk menentukan bahawa semua peraturan dipatuhi," kata Abdul Rashid.

