Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCCC: Alu-alukan pelaburan China, tapi beri manfaat M'sia

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) bersetuju dengan kerajaan bahawa pelaburan dari China perlu disemak semula jika ia tidak mendatangkan manfaat kepada negara.

Presiden MCCC, Tan Yew Sing menyampaikan pandangan tersebut kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

"Pendirian kami adalah mengalu-alukan pelaburan (dari China), tetapi kami juga menerima hakikat Malaysia perlu mendapat manfaat yang sama, kita harus melindungi kepentingan Malaysia dalam semua pelaburan asing.

"Jika terdapat beberapa (pelaburan) yang tidak memberi manfaat kepada Malaysia, kita perlu mengkaji semula," katanya kepada anggota media selepas mengadakan mesyuarat dengan majlis berkenaan di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya pandangan MCCC mengenai Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), beliau enggan mengulas tetapi berkata beliau telah diminta oleh majlis itu untuk menyediakan "laporan" mengenai beberapa isu, termasuklah projek tersebut.

Majlis penasihat itu ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan mengenai cara-cara memperbaiki ekonomi negara.

Terdahulu hari ini, anggota Majlis Penasihat Kerajaan dan ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram (gambar) memberi jaminan kerajaan menghargai pelaburan yang menyumbang kepada kemajuan negara, tetapi mempunyai kritikan tertentu berkenaan projek ECRL.

Sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM67 billion (US$17 bilion) tidak berdaya maju dari segi ekonomi dan kos yang melangkaui bajet bagi projek besar seumpama itu adalah satu norma antarabangsa,”

“Projek tersebut diberikan oleh kerajaan sebelum ini kepada sebuah syarikat China tanpa sebarang persaingan, apatah lagi proses yang telus, dengan pelbagai keistimewaan khusus termasuk pengecualian cukai.

“Pada 9 Mei, rakyat Malaysia telah menunjukkan dengan jelas pendirian mereka menolak FDI tidak bertanggungjawab dan hutang yang meragukan yang boleh membebankan dan meruntuhkan ekonomi, namun tentangan terhadap projek tersebut bukan bermakna bantahan keseluruhan terhadap pelaburan dari China,” kata Jomo dalam surat kepada Financial Times.

Urus tadbir baik bagus untuk niaga

Manakala itu, Tan juga menjangkakan Malaysia akan menjadi lebih baik jika berterusan memperbaharui institusi dan memerangi rasuah.

"Rasuah menjadi kos perniagaan kepada rakyat, jadi jika negara boleh memiliki kebebasan kehakiman dan kurang rasuah, para pelabur akan menyukai (keadaan) ini," katanya.

Beliau seterusnya menyatakan sokongan bersyarat terhadap langkah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

""Ini janji pilihan raya, saya dapat melihat kerajaan baru kita pasti akan mencari cara untuk mengisi jurang (pendapatan akibat pemansuhan GST)," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS