Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno T'ganu sokong KJ tanding presiden atau timbalan presiden
Diterbitkan:  May 24, 2018 4:58 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu akan memberi sokongan padu kepada Khairy Jamaluddin sekiranya beliau bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Exco Pemuda Umno Malaysia, Mohd Iskandar Jaafar berkata Khairy telah membuktikan kebolehan dan kemampuan untuk menerajui parti dengan sangat berwibawa selama ini malah mempunyai sokongan akar umbi khususnya kalangan pemuda di seluruh negara.

"Sekiranya Khairy tidak memegang jawatan tertinggi parti, dikhuatiri Umno akan terus kehilangan sokongan orang muda pada masa akan datang sedangkan golongan itu mewakili lebih separuh daripada jumlah pengundi," kata ketua pemuda Umno bahagian Setiu itu kepada Bernama hari ini.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar pula berkata Khairy Jamaluddin perlu diberi peluang dalam jawatan tertinggi parti bergandingan dengan orang lama agar kegemilangan parti itu dapat dikembalikan semula.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Azizul Jasmi Mohamad pula berkata Umno memerlukan pemimpin yang lebih segar dan bertenaga serta memahami aspirasi golongan muda yang telah menjadi kumpulan dominan dalam masyarakat kini.

"Justeru, sebagai langkah awal pelan pemulihan Umno, transformasi kepimpinan Umno harus berlaku di semua peringkat bagi membuktikan Umno benar-benar inginkan perubahan... bukan sekadar retorik semata-mata," katanya.

Kesemua 191 bahagian Umno akan bersidang dan memilih untuk pelbagai jawatan di bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) secara serentak pada 30 Jun depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS