MyPPP Pulau Pinang tolak pendirian Kayveas untuk keluar BN
MyPPP Pulau Pinang hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan terus setia bersama Barisan Nasional (BN) dan menolak pendirian presidennya Tan Sri M Kayveas untuk keluar BN.
Naib Pengerusi MyPPP Pulau Pinang A Raja Segaran berkata kenyataan Kayveas itu tidak selaras dengan pendirian anggota parti.
"Kami tidak menyokong pendirian Kayveas dan kesemua anggota daripada 13 bahagian serta 45 cawangan di negeri ini menyokong pendirian Maglin yang mahu MyPPP terus bersama dan memberi sokongan padu kepada BN," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pendirian MyPPP negeri di samping menyatakan kesetiaan parti itu untuk kekal dalam BN.
Katanya pendirian MyPPP negeri juga mendapat sokongan pengerusinya Datuk Loga Bala Mohan yang kini sedang menghadiri Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi di Kuala Lumpur.
-- LAGI
MYPPP-BN 2 (AKHIR) GEORGE TOWN
Baru-baru ini, Kayveas mengumumkan MyPPP secara rasmi mengakhiri hubungan dengan BN berkuat kuasa serta-merta dan bakal bergerak sendiri sebagai parti yang menyokong kerajaan sedia ada.
Beliau berkata keputusan itu dilakukan selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa beliau masih Presiden MyPPP yang sah.
Sementara itu, Raja Segaran berkata MyPPP dijangka akan mengadakan pemilihan parti pada akhir tahun ini.
-- BERNAMA

