Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petugas khas 1MDB jumpa FBI, DOJ hari ini
Diterbitkan:  May 24, 2018 6:05 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Pasukan petugas khas 1MDB hari ini telah mengadakan pertemuan dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Menurut kenyataan badan itu, pertemuan dibuat jam 11 pagi tadi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Perbincangan itu membincangkan tentang hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) bagi perkara jenayah dan proses membawa pulang aset yang dibekukan di AS.

Pasukan itu juga mendedahkan permohonan kerjasama oleh FBI pada November 2016 kepada ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini Datuk Seri Dzulkifli Ahmad tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

“Pihak DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017.

“Bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia.

“Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” katanya.

Pasukan khas 1MDB dianggotai oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas timbalan pengarah polis Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Shukri Abdull.

Lihat Komen
ADS