Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Perlis kata Shahidan angkuh
Diterbitkan:  May 25, 2018 1:23 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

PAS Perlis menganggap Datuk Seri Shahidan Kassim seorang pemimpin yang angkuh kerana membelakangkan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pesuruhjayanya Mohd Shukri Ramli berkata sikap ditunjuk Shahidan itu membuktikan anggota parlimen pembangkang mewakili Arau itu tidak menghormati institusi raja.

Pada masa sama, Mohd Shukri berkata, PAS Perlis berharap semua pihak tidak melatah atau bersikap terburu-buru, sebaliknya memberikan kepercayaan kepada Raja Perlis untuk menanganinya.

"PAS sentiasa menghormati amalan sistem beraja yang diamalkan di negara kita dan berdiri teguh bersama Tuanku Raja Perlis yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negeri dalam keputusan baginda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perlis kini berdepan krisis kepemimpinan apabila pelantikan menteri besarnya tidak dipersetujui BN yang diketuai Shahidan.

Semalam Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai menteri besar di depan Raja Perlis.

Azlan ialah penyandang bagi jawatan berkenaan sebelum ini.

Masih boleh selesai

Bagaimanapun semua sembilan lagi ADUN BN tidak menghadirinya sebagai tanda membantah pelantikan Azlan. Shahidan sebagai pengerusi BN negeri kemudian "memecat" Azlan dan mengisytiharkannya sebagai menteri besar bebas.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Shahidan mempunyai kuasa untuk memecat keanggotaan Azlan.

Kata Shahidan, Azlan sepatutnya tidak menerima pelantikan itu kerana dia gagal mendapat sokongan majoriti ADUN.

"Kita memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini.

"Selepas ini pusat yang kena maklumkan dan keluarkan surat.

"Sekarang dia jadi menteri besar bebas," katanya.

Perlis adalah negeri terakhir dalam Malaysia yang melantik menteri besar selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.


Baca 'Perlis contoh kenapa anak muda meluat pada Umno'


Sementara itu Mohd Shukri berkata PAS Perlis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di negeri berkenaan ekoran krisis yang melanda itu.

Antaranya kata Mohd Shukri ialah berlaku pilihan raya di peringkat negeri.

"PAS Perlis percaya kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik, namun sekiranya Shahidan tetap dengan keputusannya, maka kami bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS