Bursa Malaysia ditutup tinggi secara menyeluruh pada akhir dagangan pagi, selepas dua hari jualan besar-besaran, susulan minat belian baharu di kaunter wajaran tinggi terpilih walaupun sentimen di bursa serantau lemah, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 19.54 mata kepada 1,795.20 berbanding 1,775.66 pada penutupan Khamis.

Indeks dibuka 17.14 mata lebih tinggi pada 1,792.82 dan bergerak antara 1,785.12 dan 1,797.10 di sepanjang urus niaga pagi.

Peniaga bekata pasaran serantau diniagakan bercampur-campur pada awal dagangan hari ini ekoran kebimbangan pelabur setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membatalkan sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Dalam negara, beliau berkata pasaran mungkin memperoleh momentum baharu selepas Dewan Perniagaan Malaysia-China semalam berkata bahawa pelabur China berminat untuk melabur semula dalam negara disebabkan landskap politik yang stabil selain persekitaran pelaburan yang baik.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.18, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM8.31, Public Bank menokok 52 sen kepada RM24.88, TNB meningkat 28 sen kepada RM15.04 manakala CIMB menambah lapan sen kepada RM6.13.

Bagi kaunter aktif, NETX meningkat setengah sen kepada tiga sen, Sapura Energy menokok 1.5 sen kepada 70.5 sen, YTL Power menambah 3.5 sen kepada 78.5 sen, MyEG susut 2.5 sen kepada 77 sen manakala Borneo Oil tidak berubah pada lapan sen.

Indeks FBM Emas meningkat 119.31 mata kepada 12,515.27, Indeks FBMT 100 meningkat 152.16 mata kepada 12,323.12 dan FBM Ace menambah 30.40 mata kepada 5,182.47.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 98.22 mata kepada 12,566.17 dan FBM 70 meningkat 119.19 mata kepada 14,774.02.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 134.88 mata kepada 17,857.77, Indeks Perusahaan susut 0.47 mata kepada 3,197.48 manakala Indeks Perladangan meningkat 23.42 mata kepada 7,860.95.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 406 berbanding 337, manakala 375 kaunter tidak berubah, 789 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.23 bilion unit bernilai RM1.16 bilion.

Bernama