Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umur minimum memandu: K'jaan mahu pandangan umum
Diterbitkan:  May 25, 2018 3:31 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Kerajaan akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai had umur minimum pemegang lesen memandu di negara ini sebelum membuat keputusan mengenainya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Ketika ini, katanya had umur minimum pemegang lesen memandu adalah 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.

"Kita mahu orang ramai terutamanya ibu bapa membincangkan sama ada keperluan untuk kaji semula umur mendapatkan lesen. Rakyat boleh beri pandangan mereka menerusi medium media sosial iaitu Facebook JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya), Kementerian Pengangkutan atau Facebook saya. Perkara ini tidak ada tempoh masa,”katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat JKJR di Putrajaya hari ini, Loke berkata statistik JKJR menunjukkan sebanyak 1,161 kematian pada 2016 melibatkan golongan muda berumur 16 hingga 25 tahun serta 1,000 kematian pula berumur 21 hingga 25 tahun, dengan jumlah kemalangan maut pada tahun yang sama adalah 7,152 kes.

"Kadar kemalangan paling besar adalah di kalangan penunggang atau pembonceng motosikal, iaitu hampir 60 peratus amat membimbangkan. Itulah sebab kita perlu bincangkan. Kita tahu ini bukan perkara mudah diputuskan," katanya.

Loke bagaimanapun mengakui ramai anak muda di luar bandar khususnya yang masih bersekolah menengah mempunyai keperluan untuk menggunakan motosikal ke sekolah disebabkan kekurangan pengangkutan awam.

Bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya khususnya golongan belia, beliau mencadangkan program-program advokasi yang bakal dillaksanakan yang mampu menarik minat golongan berkenaan.

"Pendekatan program advokasi ini perlu berubah dengan mendekati dengan orang muda kerana ramai terlibat atau meninggal dunia atas jalan raya. Kita mahu mereka terlibat dalam program seperti ini. Dulu pendekatan, bagi ceramah dan taklimat kepada anak muda di sekolah. Kita tahu mereka tidak suka dengar taklimat dan mahu berinteraktif.

"Kita harap golongan belia dapat memberikan idea baik dan cadangan kepada JKJR melalui media sosial atau mengemukakan kertas kerja untuk melaksanakan program di peringkat sekolah dan negeri. Kita tidak mahu lagi program dijalankan di sekolah tanpa anak-anak muda menunjukkan minat," kata Loke.

Mengenai kekangan peruntukan untuk menjalankan kempen kesedaran, Loke berharap syarikat insurans kereta dan nyawa serta syarikat kenderaan akan membuat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama JKJR dengan menghasilkan filem pendek mengenai kesedaran jalan raya.

Walaupun terdapat kekangan, Loke berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan meneruskan program kesedaran dengan mencari pendekatan luar kotak agar mesej-mesej kesedaran itu dapat disampaikan kepada rakyat.

Kempen kesedaran JKJR memerlukan RM1 juta setiap tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS