Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang setuju Guan Eng perlu berdiplomasi tangani 1MDB, tapi...
Diterbitkan:  May 25, 2018 3:29 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Lim Kit Siang mendedahkan bahawa beliau menerima beberapa pandangan berhubung pendekatan diambil anaknya, Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Menurutnya, pandangan berkenaan menyatakan adalah lebih bijak untuk Guan Eng berhenti membuat kenyataan 'gaya pembangkang' dan sebaliknya memberi hujah dan naratif positif tentang ekonomi negara.

Veteran DAP itu juga memetik artikel Bloomberg yang menggesa menteri kewangan berkenaan lebih berdiplomasi dalam mengendalikan skandal 1MDB.

Kit Siang berkata beliau bersetuju dengan pandangan berkenaan, namun memberi peringatan agar tidak sehingga memberi maklumat palsu.

"Saya bersetuju perlu ada pendekatan yang bijaksana dan berdiplomasi dalam menangani isu 1MDB namun tidak sehingga membuat penipuan, berita palsu dan memberi maklumat palsu berhubung 1MDB.

"Berdiplomasilah, tapi tidak ada alasan untuk sehingga melanggar prinsip kebenaran, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menangani isu 1MDB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng sebelum ini dikritik selepas mengumumkan hutang 1MDB yang dikatakan menjejaskan keyakinan pelabur da menyebabkan harga saham di Bursa Malaysia jatuh.

Artikel Bloomberg itu juga mengkritik Guan Eng atas kecamannya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan dakwaan bahawa hutang Malaysia melebihi RM1 trilion.

"Pelabur rasa tidak senang dengan situasi yang di luar kawalan. Pelabur luar sudah menjual saham dalam negara untuk 13 hari beturut-turut.

"Untuk Guan Eng mengumumkan dalam sidang media pertamanya bahawa hutang kerajaan melebihi satu trilion ringgit kerana mahu menyelamatkan 1MDB, beliau boleh dapat markah penuh untuk kejujuran, namun tidak untuk kebijaksanaan," kata artikel itu yang mengingatkan Guan Eng bahawa tugasnya adalah untuk menenangkan pelabur dan memastikan ekonomi negara berkembang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS