Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas ahli Umno bersalah anjur himpunan haram di Malaysiakini
Diterbitkan:  May 25, 2018 4:01 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Bekas setiausaha kepada Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Mohamed Durrany Izam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram 'Gerakan Merah' di pejabat portal Malaysiakini, dua tahun lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Durrany, 36, yang merupakan bekas setiausaha kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya denda gagal dibayar. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai penganjur Program Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya 10 hari sebelum perhimpunan terbabit diadakan.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat portal Malaysiakini, Jalan Tandang 51/205A, di sini, pada 2 petang, 5 Nov 2016 mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dihukum mengikut Seksyen 9 (5) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya VV Suloshani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.

"Ketika kejadian, 1,000 orang menyertai perhimpunan haram itu...tindakan tertuduh menimbulkan pelbagai kesusahan kepada rakyat termasuklah kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat.

"Kes ini juga telah dibicarakan sepenuhnya dengan lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil, oleh itu saya pohon satu hukuman denda maksimum," katanya.

Mohamed Durrany yang diwakili peguam Izzat Zabir Sariff memohon hukuman ringan bersesuaian dengan keadaan anak guamnya yang ketika ini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan majikannya.

"Anak guam saya juga menanggung kedua ibu bapanya yang sudah tua selain telah insaf atas perbuatannya," kata peguam itu.

Pada 5 Nov 2016, media melaporkan kira-kira 1,100 orang hadir di hadapan pejabat portal Malaysiakini dengan memakai baju merah dan mengadakan demonstrasi jalanan bagi menggesa portal berita itu ditutup berikutan dakwaan penerimaan dana daripada Open Society Foundation (OSF) iaitu sebuah organisasi pemberi geran yang dikendalikan seorang lelaki berketurunan Yahudi, George Soros.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS