'Gagal hayati roh perjuangan punca Umno tewas'
Seorang pemimpin Pemuda Umno mengakui bahawa kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berpunca daripada kegagalan pucuk pimpinan parti menghayati roh perjuangan sebenar dan agenda rakyat,
Ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Salak Dr Faizal Tajuddin berkata kesilapan pucuk pimpinan yang gagal membaca suara rakyat, tidak keluar dari politik lama serta mempunyai 'budaya rosak' antara faktor Umno mengalami defisit kepercayaan, yakni ditunjukkan perubahan tersebut menerusi trend mengundi dalam kalangan anggotanya untuk beralih arah menyokong Pakatan Harapan.
"Umno gagal untuk menghayati keinginan rakyat. Masih lagi 'atas ke bawah'. Kita sekarang kena 'bawah ke atas' iaitu daripada peringkat bawahan, kita perlu naik ke peringkat tertinggi.
"Janganlah kita buat-buat mendengar masalah di peringkat akar umbi tetapi lepas itu kita sekat, jumpa peringkat atasan kita cakap pasal benda lain. Banyak kali dah perkara sebegini terjadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan balas di Balai Polis Kampong Gajah, di Pasir Salak berhubung seorang pesara kerajaan yang membuat laporan polis mendakwa Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah melakukan salah laku dan penyelewengan wang Felcra semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.
Mengulas lanjut katanya, terdapat budaya negatif yang telah sedikit sebanyak mencalarkan imej dan merosakkan dalaman Umno termasuklah budaya politik 'panglima perang’, sifat angkuh serta amalan politik wang.
"Kita mempunyai beberapa budaya yang telah sedikit sebanyak merosakkan Umno. Bukan lagi perasaan bangga dapat berkhidmat kepada parti tapi perasaan sertai parti (memikirkan) ‘apa yang aku dapat’.
"Jadi kita kena mengubah budaya itu sebab jika diteruskan dan tidak berbuat apa-apa, Umno mungkin akan terus wujud tetapi kualitinya bagaimana? Kita mahukan satu pasukan dari kalangan generasi baru berkhidmat ikhlas menyumbang kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu Dr Faizal berkata sebenarnya banyak perkara boleh diselesaikan namun oleh kerana terdapat segelintir pemimpin Umno yang bukan lagi meletakkan perjuangan parti sebagai pegangan maka banyak perkara terabai.
"Akhir sekali kita kena kembalikan roh perjuangan Umno sebenar sepertimana parti itu ditubuhkan pada 1946 dimana waktu itu orang menyumbang untuk menghidupkan Umno, bekorban apa sahaja untuk menghidupkan dan Umno lah memperjuangkan hak-hak mereka, tapi kebelakangan ini, perkara itu dah terbalik," katanya.
Justeru katanya, kekalahan dalam PRU-14 membawa hikmah tersendiri kepada Umno di mana ia membuka ruang untuk melaksanakan beberapa pembaharuan dalam parti.
- Bernama

