Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim pertimbang tinggal PERKASA untuk sertai politik

Datuk Ibrahim Ali pertimbang meninggalkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan mungkin menyertai parti politik sepenuh masa.

Ibrahim yang telah menghantar surat peletakan jawatan presiden pertubuhan itu minggu lalu turut berkata beliau sudah penat dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

“Inilah sebab saya kata saya dah letih, penat dan saya juga ambil keputusan undur diri sebab saya nak lihat selepas ini siapa pula tampil ke hadapan komited pertahankan kemurnian Islam dan orang Melayu.

“Buat masa ini saya nak berehat, lima enam bulan lepas tu saya mungkin nak masuk politik secara rasmi, kalau saya pegang jawatan presiden PERKASA, saya terikat dengan PERKASA.

“Tapi saya tak boleh buat apa-apa dan saya tak boleh nak move forward (jika jadi Presiden PERKASA) tapi PERKASA ni pun sealiran dengan jiwa saya. Selepas ni saya mungkin sertai mana-mana parti kecil,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PERKASA.

Beliau juga menolak merajuk atau kecewa dengan situasi politik masa kini sebaliknya pernah menyatakan dalam Persidangan Tahunan Agung Perkasa 2017 bahawa ucapan dasar yang dibuat ketika itu adalah ucapan terakhir sebagai seorang presiden.

15 Mei lalu Ibrahim meletakkan jawatan selaku Presiden PERKASA.

Pihak Ahli Dewan Tertinggi (ADT) PERKASA melantik Naib Presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad untuk memangku jawatan itu buat sementara waktu.

Dihumban Melayu sendiri

Ruhanie turut berkata PERKASA menolak peletakan jawatan itu dan memberinya masa untuk berehat buat sementara waktu.

Ibrahim berkata beliau kini mengharapkan 18 anggota parlimen PAS yang menang pada PRU14 lalu untuk memperjuangkan Islam berikutan prinsip dan dasar parti itu kearah tu.

“Saya rasa tugas PERKASA dah ringan sebab PAS dah kembali kuat , dah ada 18 wakil dalam parlimen, nak harap siapa lagi, dia pun parti politik.

“Dalam konteks politik kita harapkan PAS supaya bila ada orang hina Islam dari blogger, gambar, laporan polis, terpaksa pergi ke mahkamah untuk mempertahankan Islam, pergilah.

“PERKASA dah letih, saya dah jemu mempertahankan Melayu Islam sehingga kita sendiri dihumban oleh orang Melayu Islam sendiri, lebih baik kita serah pada PAS yang claim berjuang untuk Islam, terserah pada PAS,” katanya.

Selain itu bekas anggota parlimen Pasir Mas itu juga berkata walaupun terdapat kebimbangan orang Melayu terhadap manifesto Pakatan Harapan, namun beliau mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuangkan isu Melayu Bumiputera.

“Saya bergantung harap pada Tun Mahatahir. Saya meletakkan keyakinan Tun Mahathir. Saya yakin Tun Mahathir mampu jaga kepentingan Islam dan Melayu walaupun banyak kebimbangan dalam manifesto HARAPAN,” katanya.

Lihat Komen
ADS