Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH: Sekurang-kurangnya minta maaflah Najib
Diterbitkan:  May 26, 2018 11:24 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Di sebalik pendedahan demi pendedahan dibuat kerajaan, Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurangnya wajar memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mewariskan hutang puluhan bilion ringgit, kata pemimpin Pemuda AMANAH hari ini.

Menurut Shazni Munir Mohd Ithnin, kerajaan kini berhempas-pulas untuk memulihkan semula akaun negara akibat tindakan dilakukan bekas perdana menteri tersebut.

Dengan keadaan itu pun, kata naib ketua pemuda AMANAH tersebut, Najib tetap "bermuka-muka" seolah-olah tidak melakukan sebarang kesilapan.

"Kini disiasat berhubung skandal kewangan terbesar di dunia, Najib bahkan mengaku menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

"Hanya orang tidak waras saja masih mempunyai muka untuk berlagak seperti tidak ada apa-apa di hadapan rakyat.

"Berpada-padalah jika mahu bermuka tembok pun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepatutnya kata Shazni, Najib mesti meminta maaf kerana bebanan itu sekarang terpaksa ditanggung oleh rakyat negara ini.

"Jika Najib sesungguhnya seorang tokoh bermaruah, setidak-tidaknya beliau memohon maaf dengan hutang 1MDB yang keseluruhannya berjumlah RM38 bilion," katanya.

Dapat ambil aset

Sejak menguasat Putrajaya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mula mendedahkan satu demi satu maklumat berhubung skandal 1MDB yang dikaitkan secara langsung dengan Najib.

Anak perdana menteri kedua Malaysia itu adalah pemimpin kerajaan yang mengepalai syarikat pelaburan milik penuh kerajaan sebelum kini menjadi anggota parlimen pembangkang mewakili kerusi Pekan.

Bagaimanapun semalam Najib menyangkal pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa 1MDB menerima hampir RM7 bilion dalam bentuk "bailout" (suntikan dana) daripada kerajaan.

"Bukan sahaja ini mengelirukan, ia merupakan percubaan bermotifkan politik untuk mengaburkan fakta-fakta," dakwa Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Menurut bekas presiden Umno itu juga, beliau mengikuti cadangan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB untuk memindahkan kesemua aset hartanah 1MDB ke syarikat lain yang dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Semua aset harta tanah bernilai dan strategik 1MDB telah dipindahkan ke syarikat lain yang dimiliki oleh MOF Inc," dakwanya.

Menurut Najib, MOF Inc memang perlu membayar hutang 1MDB tetapi dapat mengambil alih asetnya.

"Untuk memenuhi kewajipannya, MOF boleh menggunakan pelbagai kaedah, termasuk penjualan tanah (contohnya kepada Bank Negara Malaysia) atau dengan mengutip pembayaran hutang (contohnya dari Khazanah)," katanya.


Baca Najib: Tak betul sebut kerajaan 'bail out' 1MDB


Shazni berkata kenyataan terbaru Najib itu menjelaskan bahawa bekas presiden Umno terbabit langsung tidak pernah rasa bersalah, apatah lagi menyesal dengan 'dosa' beliau kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Bernada sinikal kononnya pelabur lari disebabkan pengumuman jujur dan telus menteri kewangan, Najib lupa bahawa bebanan negara yang ditanggung ketika ini merupakan legasi pentadbiran kleptokrasi beliau sebelumnya.

"Kementerian Kewangan mengesahkan laporan bahawa pentadbiran era Najib telah diselamatkan melalui dana Bank Negara dan Khazanah bagi membayar hutang 1MDB bernilai RM6.98 bilion kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) - sesuatu yang cuba disorokkan Najib ketika berkuasa," katanya.

Lihat Komen
ADS