Paling Popular
Terkini

Pilihan raya untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melantik datuk bandar atau yang dipertuanya akan dibuat selepas kedudukan kewangan dan ekonomi negara stabil, kata Zuraida Kamaruddin.

Walaupun begitu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kerajaan tidak menjangkakan tempoh terlalu lama diperlukan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Kata Zuraida kerajaan menyasarkan pemilihan tersebut akan diadakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“PBT ialah kerajaan (lapisan) ketiga, jadi wajar diadakan pemilihan (namun) buat masa ini ada banyak perkara yang perlu dikemas kini.

"Jadi saya lihat kerajaan perlukan masa enam bulan sebelum membuat kajian bagi melaksanakan pemilihan secepat mungkin - jika boleh - memandangkan ekonomi negara kita perlu distabilkan," katanya.

Zuraida menambah kementerian itu tidak bercadang mahu menambah beban ditanggung kerajaan.

Jika mendapat peruntukan nanti, katanya, pemilihan itu akan dapat dibuat segera.

“Saya boleh katakan ianya akan berlaku dalam tiga tahun (sasaran),” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Transit 1Malaysia di Bukit Jalil, hari ini.

Sebelum ini Zuraida dipetik berkata sebagai negara demokrasi, pemilihan pemimpin PBT wajar dilaksanakan menerusi pilihan raya.

Bermula di negeri tertentu

Jelasnya, berdasarkan peringkat dalam kerajaan, PBT berada pada tangga ketiga.

Beliau yang juga anggota Parlimen Ampang itu turut membayangkan, sekiranya pilihan raya PBT direalisasikan, ia akan menjadi satu perkara yang menarik.

Malah beliau bersedia jika peruntukan kementeriannya dikurangkan sedikit bagi membolehkan dana itu dimanfaatkan bagi mempercepatkan proses pilihan raya PBT.

Sebagai langkah penjimatan Zuraida berpandangan pilihan raya PBT boleh diadakan secara berperingkat.

“Kita mungkin tidak boleh buat untuk seluruh negara, mungkin kita (cuba) di negeri tertentu macam Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Untuk rekod, pilihan raya PTB pernah diadakan di Malaysia sebelum 1964.

Bagaimanapun, sistem pilihan raya itu kemudian dimansuhkan atas alasan bagi mempercepatkan proses pembangunan negara.

Pada 1 November 2006, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim pernah mencadangkan di parlimen agar pilihan raya PBT ini diadakan semula.

Lihat Komen
ADS