Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkaitan masalah pinjaman perumahan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, isu pinjaman rumah ini di bawah seliaan Kementerian Kewangan, namun KPKT telah memajukan perkara ini kerana masalah ini berpunca daripada karenah birokrasi.

“Isu pinjaman perumahan membabitkan Kementerian Kewangan, kita (KPKT) ada bawa isu ini sebab masalah pinjaman berpunca daripada birokrasi undang-undang bank, jadi kita cuba menyoroti masalah berkenaan.

“Bagaimanapun, buat masa ini tindakan kita tidak akan menjejaskan pihak bank. Pastinya akan ada satu mekanisme atau jalan keluar yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah.

"Lagipun KPKT sudah adakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai masalah pinjaman perumahan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Transit 1 Malaysia, di Pinggiran Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, mengenai KPKT memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank, Zuraida berkata beliau tidak tahu mengenainya.

Bagaimanapun tambah anggota parlimen Ampang itu beliau bersedia untuk meneliti masalah tersebut.

“Saya tidak tahu isunya, sebab saya belum ke bahagian itu.

“Cuma diberi taklimat, saya baru diberi gambaran umum saja. Nanti minggu depan saya akan pergi ke jabatan-jabatan dan nanti bila saya diberi taklimat penuh baru saya boleh komen berkenaan ini,” katanya.