Polis Kanada buru suspek pengebom restoran, 15 cedera
GLOBAL Polis Kanada sedang memburu dua suspek yang masuk ke restoran yang sesak pada malam Khamis dan meletupkan bom, mencederakan 15 orang.
Tetapi polis berkata pada hari Jumaat insiden itu tidak kelihatan sebagai jenayah kebencian atau dikaitkan dengan keganasan antarabangsa.
Ledakan itu berlaku di sebuah restoran India yang popular di Mississauga, sebuah kota di barat Toronto, kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan pada hari Khamis. Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dua lelaki masuk ke restoran itu, seorang daripadanya membawa objek.
"Tidak ada petunjuk bahawa ini adalah tindakan pengganas, tidak ada tanda-tanda ini adalah jenayah kebencian," kata Ketua Polis Peel Jennifer Evans kepada pemberita pada hari Jumaat.
Ledakan itu mengakibatkan "kerosakan besar," kata Evans sambil menambah terdapat dua majlis harijadi diadakan di restoran semasa kejadian, yang dihadiri kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun. Tidak ada kanak-kanak yang cedera.
Tiga orang cedera parah, tetapi pada hari Jumaat pagi, keadaan mereka telah stabil, kata Evans. Manakala 12 orang lagi yang berusia 23 hingga 69 tahun cedera ringan.
Kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri selepas letupan itu, kata polis. Tidak ada yang mengaku bertanggungjawab dan motif serangan itu masih belum diketahui.
- Reuters

