Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mereformasi cara berfikir, bertindak sebagai kerajaan

ULASAN | Alhamdulillah peralihan kuasa sudah masuk hari ke-17 hari ini dan kita berada dalam keadaan aman dan damai walaupun ada saat-saat cemas lagi merunsingkan apabila kita menang pada awal pagi 10 Mei lalu.

Dalam tempoh yang singkat itu banyak perkara positif berlaku yang memberi harapan bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu memenuhi - kalau tidak semua pun - sebahagian besar daripada harapan rakyat jelata, khususnya yang mengundi gabungan itu.

Yang baik tidak perlu dipuji sangat-sangat sebab itulah matlamat HARAPAN. Rakyat jelata memberi kita mandat untuk melakukan yang terbaik.

HARAPAN jangan sekali-kali termasuk ke dalam jebak yang memerangkap Umno/BN iaitu puji-memuji, ampu-mengampu dan bangga mendabik dada.

Apa yang lebih utama bagi kerajaan HARAPAN ialah belajar daripada kesilapan Umno/BN, serta kesilapannya sendiri sejak dua minggu lalu untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Kalau saya diizinkan meminjam ungkapan bahasa Inggeris, HARAPAN sebenarnya sudah pun merasa “baptism of fire” apabila kerana terlalu ghairah telah melakukan beberapa salah langkah.

Dalam agama Kristian, perasmian seseorang sebagai penganut atau pembersihan rohnya dilakukan dengan memercikkan air suci ke dahi atau menenggelamkannya dalam air.

Hutang besar berganda

Jadi “baptism of fire” atau penyucian dengan api adalah sesuatu yang berat, yang dalam maksud figuratifnya, bererti pengalaman getir ketika memulakan kerja atau tugas baru.

Dalam hal ini bolehlah saya katakan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, telah memalui baptisme api apabila - pada hemat saya - beliau terlanjur “memainkan” isu hutang kerajaan.

Menang benar kerajaan baru telah menemui beberapa perkara besar yang menjurus ke arah membuktikan bahawa kerajaan dulu berbohong atau tidak menyatakan kebenaran.

Hutang kerajaan adalah antaranya. Apa yang ditemui ialah tanggungan hutang kerajaan pusat jauh lebih besar daripada yang selama ini dinyatakan oleh bekas Menteri Kewangan Mohd Najib Abdul Razak.

Ini adalah kerana Najib dan konco-konconya hanya menyatakan hutang kerajaan pusat. Apa yang tidak dimasukkan ialah hutang agensi-agensi kerajaan yang dijamin oleh kerajaan pusat.

Apabila hutang kerajaan dicampurkan dengan hutang agensi-agensi dijamin kerajaan pusat, maka tanggungan hutang kerajaan menjadi berganda besarnya.

Kesilapan Lim ialah dalam euforia dan keseronokan luar biasa menemui hal-hal yang membuktikan dakwaan HARAPAN selama ini benar, telah terlupa memikirkan semasak-masaknya apakah implikasi buruk pendedahan itu.

Biar saya beri peringatan kepada semua menteri dan pegawai mereka agar lebih berhati-hati membuat kenyataan kepada media massa.

Faedah politik (political milage) tidak sama dengan faedah ekonomi (economic milage). Yang baik untuk politik tidak semestinya baik untuk ekonomi dan pasaran.

Khusus buat Lim yang saya kenal cukup lama dan mempunyai perhubungan yang cukup sivil walaupun buat sekian lama berbeza ideologi politik, berhati-hatilah di dalam membuat kenyataan dan hebahan.

Kita dalam HARAPAN menjanjikan reformasi. Jadi eloklah kita mulakan dengan mereformasi cara kita berfikir dan bertindak.

Kita tidak perlu sensasi atau menjerit di puncak suara lagi. Kita sudah menjadi kerajaan.

Hendak hukum Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy, Irwan Serigar Abdullah, Mohamed Apandi Ali, bekas IGP, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, bekas (?) pengerusi SPR, Rizal Mansor, Riza Aziz, Isa Samad, Habibul Rahman Kadir, Abdul Azeez Rahim dan banyak lagi konco-konco era kleptokrasi - boleh, malah wajib.

Tapi biarlah kita lakukan melalui proses undang-undang kerana itulah yang terbaik apatah lagi HARAPAN sendiri berjanji menjunjung kedaulatan undang-undang.

Lebihkan bekerja demi rakyat jelata daripada berkata-kata dan mencari tajuk berita.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau dengan tajuk Banykkan Bekerja Kurangkan Berkata-kata. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS