Kerajaan memberi jaminan tarif eletrik tidak akan dinaikkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik menegaskan, tiada sebarang kenaikan tarif, walaupun pada hujung tahun ini.

" Tolong jangan membuat sebarang spekulasi bila tarif akan dinaikkan," katanya.

Kerajaan kebelakangan ini tertekan untuk menaikkan harga kadar eletrik kerana syarikat pembekal tenaga, Tenaga Nasional Berhad terpaksa beroperasi dalam keadaan yang sukar sejak berlaku krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan kini dibebani pula oleh kenaikan harga minyak mentah global.

Menurut laporan AFP, Dr. Lim mengakui kementeriannya berada dalam dilema kerana terpaksa menjaga kepentingan pengguna serta menangani pemintaan dari Tenaga Nasional dan juga Petronas.

Petronas membekalkan gas pada harga subsidi kepada stesen-stesen penjana eletrik Tenaga Nasional.

Menurut beliau, Petronas juga meminta dikaji semula harga gas yang dibekalkan kepada syarikat pembekal eletrik itu kerana harga bahan tersebut telah meningkat tinggi di pasaran.

Bagaimanapun katanya, jika Petronas dibenarkan menaikkan harga gasnya, masalah yang dihadapi oleh Tenaga Nasional akan menjadi bertambah rumit.

Oleh kerana itu beliau menangguhkan kajian semula ke atas harga gas yang sepatutnya dilakukan pada hujung tahun ini.

Tenaga Nasional melaporkan kenaikkan keuntungan bersih sebanyak 57.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir Ogos lalu.