Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal masih tak dapat dikesan lepas 30 jam hilang
Diterbitkan:  May 26, 2018 11:22 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dikatakan masih belum muncul selepas 30 jam hilang dari Hospital Ampang Puteri semalam.

Kehilangan Jamal menyukarkan proses jaminan kes mahkamah yang sedang dijalaninya di wad hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang dipetik Astro Awani berkata, polis sedang giat mengesan kedudukan Jamal untuk menyelesaikan proses dokumentasi tersebut.

"Setakat ini (10 malam), kami belum dapat mengesan kedudukan beliau (Jamal). Kita berharap dia tampil dan bekerjasama untuk menyelesaikan proses jaminan mahkamah ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Jamal dikatakan hilang dari hospital tempatnya membuat rawatan sakit belakang itu antara pukul 5 ke 6 petang ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.

Jamal disiasat berhubung kes memecahkan botol arak di hadapan pagar pintu masuk bangunan pentadbiran kerajaan negeri Selangor Oktober tahun lepas.

Sementara itu, peguam Jamal, Mohd Imran Thamrin awal hari ini berkata kehilangan Jamal dari wad hospitalnya semalam tidak disengajakan dan mungkin disebabkan 'silap komunikasi'.

Mohd Imran juga menggesa anak guamnya hadir di balai polis dan membantu menyempurnakan proses ikat jamin.

Lihat Komen
ADS