Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kak Wan: Jangan sia-siakan kemenangan HARAPAN

Jangan sia-siakan kemenangan sebaliknya carilah cara untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam pengurusan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini.

Sambil mengingatkan para pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai perkara itu, beliau berkata negara perlu dibina semula menerusi asas demokrasi yang tulen dan rakyat Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab bersama untuk membantu dalam proses itu.

“Ini memberikan kita kebebasan. Kita dah tukar kerajaan dan jangkaan kita begitu tinggi sekali.

“Kita dijadikan dengan jiwa dan intelek yang membedakan kita dengan yang lain. Intelek inilah yang penting untuk kita membebaskan manusia daripada cengkaman manusia,” katanya ketika berucap pada program Santai Sahur Final UEFA Champion League Bersama Gagasan Belia Pandan di Kuala Lumpur.

Generasi muda, pelapis masa depan

Pada majlis itu, kira-kira 300 penyokong Liverpool dan Real Madrid hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah di Stadium NSC Olimpiyskiy Kiev, Ukraine yang berlangsung lewat awal pagi Ahad.

Dr Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Pandan juga bercakap mengenai peranan generasi muda sebagai pelapis kepimpinan dan masa depan negara.

Menjadikan sukan bola sepak sebagai contoh, beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata rakyat perlu mengetahui bagaimana sukan itu boleh mewarnai kehidupan selain semangat berpasukan memberi kesedaran serta hala tuju dalam hidup.

Ibarat pertandingan bola sepak yang ada kalah dan menang, Dr Wan Azizah mengingatkan para penyokong HARAPAN supaya mendalami nilai kemanusian dan tidak terlalu fanatik dengan keputusan sesuatu pertandingan.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS