Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

M Kayveas hari ini bertegas bahawa dia masih lagi presiden MyPPP yang sah dan berkata perkara itu disahkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat agung MyPPP hari ini, Kayveas merujuk surat bertarikh 18 Mei daripada ROS yang menurutnya mengesahkan dia masih merupakan presiden sah MyPPP.

"Saya merupakan presiden yang sah, tak ada presiden lain (ketika ini)," katanya.

Kayveas berkata demikian selepas pecahan parti itu yang diketuai Maglin Dennis D'Cruz mengadakan mesyuarat agung berasingan di PWTC semalam.

D'Cruz mendakwa dia dilantik sebagai presiden oleh 1,250 perwakilan yang hadir mesyuarat itu.

Menurutnya, anggotanya telah berjumpa dengan pegawai ROS Khamis lalu dan diberitahu secara lisan agar meneruskan mesyuarat agung yang direncanakan.

Kayveas bagaimanapun mencabar D'Cruz untuk menunjukkan bukti bertulis tentang perkara itu.

"Boleh Maglin tunjuk surat? Tolong jangan kelirukan anggota dan orang awam. Itu adalah mesyuarat agung palsu," kata Kayveas.

Kayveas mendakwa laporan polis sudah dibuat untuk menghalang mesyuarat agung mereka hari ini.

"Kenapa takut kalau betul anda sah (sebagai presdien)?" soalnya.

Kumpulan D'Cruz sebelum ini mendakwa telah memecat Kayveas daripada parti itu dan menambah tindakan disiplin terhadapna adalah dari arahan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kayveas pula mengesahkan bahawa MyPPP secara rasmi sudah keluar daripada BN.

"Jika mereka mahu kekal dalam BN, mereka perlu tubuhkan parti lain dan sertai BN.

"MyPPP akan jadi parti bebas," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS