Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak ada masalah Guan Eng jadi menteri kewangan tapi jangan lupa bumiputera'

Bagi Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali beliau tidak mempunyai sebarang masalah apabila kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) melantik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Yang lebih penting, katanya, ialah Kementerian Kewangan mampu mewujudkan dasar yang dapat membantu serta berlaku adil terhadap semua komuniti di negara ini.

"Untuk saya, siapa-siapa yang menjadi menteri kewangan bukan perkara mustahak, kita tidak perlu bimbang tentang kaum sama ada Cina, Melayu atau India.

"Apa yang penting ialah dia (Lim) mesti berlaku adil terhadap semua komuniti.

"Kita jangan lupa bahawa terdapat 60 peratus populasi bumiputera di Malaysia. Jadi tidak kira apa polisi, saya bukan mahukan kronisme tetapi keutamaan perlu diberi pada yang memerlukan dan Bumiputera.

"Penting bagi Kementerian Kewangan bukan sahaja bertindak adil terhadap negara tetapi juga komuniti," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelantikan Lim sebagai menteri kewangan.

Sehubungan itu, Ameer berkata, selaku seorang peniaga beliau amat memahami situasi yang melibatkan kepelbagaian bangsa di negara ini.

Justeru, katanya amat penting untuk kerajaan mewujudkan dasar yang boleh menaik taraf kehidupan semua kaum.

"Polisi dari Kementerian Kewangan itu mesti membantu semua kominiti dan membantu komuniti ini untuk sama taraf. Ia penting dan semua orang perlu ada taraf hidup yang tertentu," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS