Penduduk sekitar Lahad Datu dan Kunak merasai dua kali gegaran dalam tempoh 10 minit petang ini.

Seorang pekerja sektor swasta Baharudin Labahu, 28, berkata beliau merasakan gegaran lima hingga enam saat ketika berada di rumahnya di Simpang Empat Kunak di Kunak, Sabah.

"Saya sedang berehat di rumah dan apabila gegaran berlaku, saya tidak mengandaikan ia gempa namun saya sempat membuka laman sosial Whatsapp dan ramai rakan-rakan yang turut merasai keadaan tersebut.

"Selepas beberapa minit, satu lagi gegaran berlaku," katanya semasa dihubungi Bernama.

Seorang penduduk Taman Aman 3 di Lahad Datu, Ainul Durmahyanty Durming turut merasai gegaran ketika duduk di kerusi bersama ahli keluarga.

"Semasa gegaran, memang terasa kerusi bergoyang dan saya tanya kepada ibu yang turut merasakan gegaran berkenaan.

"Tidak lama kemudian, ada gegaran lagi, tidak sampai 10 minit begitu dari yang pertama," katanya.

Sementara itu, mengikut laman web Jabatan Meteorologi, gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter berlaku di barat laut Kunak pada kira-kira 3.53 petang.

- Bernama