PKR boleh dapat permit terbit akhbar
Kerajaan memberi jaminan akan meluluskan permit penerbitan untuk akhbar milik parti politik dengan kekerapan tertentu. Jaminan itu diberikan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah berkata demikian dalam jawaban bertulisnya kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Ismail dalam sidang Dewan Rakyat 27 Oktober lalu.
Dr. Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR dalam soalannya bertanyakan apakah setiap parti politik berdaftar berhak mendapat permit akhbar dengan merujuk kepada kes akhbar milik parti itu, Suara Keadilan yang sehingga kini masih belum mendapat permit.
Suara Keadilan, akhbar dwi-bulanan yang kini dijual sebanyak 50,000 naskah untuk setiap keluaran mula beroperasi sejak Jun lalu dengan menggunakan permit Suara PRM hasil penggabungan KeADILan dan Parti Rakyat Malaysia.
Permohonan penyambungan telah dihantar kepada Unit Penerbitan KDN apabila permit tersebut tamat tempohnya lima bulan lalu, namun sehingga kini belum diluluskan.
Pada masa sama, pengedar dan penjual Suara Keadilan di Selangor, Johor, Malaka dan Kelantan diugut dan akhbar mereka dirampas pihak KDN.Syarikat pencetak juga menerima ugutan sama agar tidak mencetak akhbar itu.
"Setiap pertubuhan termasuklah parti politik boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan permit penerbitan.
Kementerian meluluskan permit penerbitan dalam bentuk surat berita yang mempunyai kekerapan diterbitkan tidak lebih dua minggu sekali," kata Abdullah yang juga Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun katanya permohonan hendaklah dibuat dengan mengisi borang Permit Penerbitan 6(1)(a) atau 6(1)(b) dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan pertubuhan/pendaftaran/perniagaan serta mengemukakan contoh 'mock-up' penerbitan yang bakal diterbitkan selaras dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua apabila dihubungi berkata pihaknya menyambut positif jawapan KDN ini dan berharap akan segera mendapat permit penerbitan.
"Semua dokumen dan kriteria yang diperlukan KDN telah kami penuhi dan oleh itu tidak ada sebab bagi KDN untuk tidak meluluskan permit akhbar Suara Keadilan.
Kami berharap hak kami sebagai sebuah parti politik diiktiraf dengan kelulusan segera permit tersebut," kata beliau.
KDN dalam suratnya 19 Oktober lepas juga mengesahkan menerima dan sedang menimbangkan permohonan PKR itu.

