Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ulangi pendirian akta antiberita palsu, 1MDB
Diterbitkan:  May 28, 2018 12:03 AM
Dikemaskini: 4:11 PM

PAS mengulangi sokongan terhadap Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang diperkenalkan pentadbiran BN sebelum ini dan kini dikaji semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi sokongan terhadap akta itu melalui kenyataan di Facebook sebagai merujuk wawancaranya yang disiarkan TV3.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak TV3 dan wartawan Juliana Sharin di atas liputan dalam Buletin Utama malam ini.

"Saya juga sempat berpesan kepada mereka bahawa pihak media bertanggungjawab mendidik rakyat Malaysia dengan berita benar dan telus supaya rakyat dapat menilai dengan matang dan sejahtera.

"Oleh sebab itu, PAS menyokong Akta Anti Berita Tidak Benar," katanya.

Antara yang disorot dalam wawancara itu termasuklah gesaan Abdul Hadi agar kerajaan dibawa teraju Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperkasa syiar Islam dan mempertahankan hak orang Melayu.

Abdul Hadi juga mengulangi pendirian PAS bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah berhubung isu 1MDB yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin HARAPAN sebelum ini memberi jaminan akan memansuhkan akta antiberita palsu seperti dijanjikan sebelum menjadi kerajaan.

Jaminan itu dibuat selepas Dr Mahathir berkata akta antiberita palsu akan 'diberi takrifan yang jelas', namun pengerusi HARAPAN itu tidak menyebutkan sama ada ia akan dipinda atau dimansuh.

Dr Mahathir bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan kepada organisasi berita walaupun menyiarkan berita yang tidak memihak kepada kerajaan.

Lihat Komen
ADS