Salleh: Lebih telus, demokratik jika buat pilihan raya k'jaan tempatan
Bekas menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat terdapat kesan baik dan buruk sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dijalankan.
Bagaimanapun Salleh percaya langkah itu akan membawa lebih banyak ketelusan sekiranya dilaksanakan.
"Satu perkara yang bagus ialah ahli majlis tempatan tidak lagi dilantik, tetapi akan dipilih, yang akan diterjemahkan kepada lebih demokrasi dan ketelusan," katanya dalam catatan di blognya hari ini.
Salleh mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang berjanji kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun.
Dalam catatannya, Salleh berkata tidak ramai rakyat Malaysia hari ini sedar Malaysia pernah menjalankan pilihan raya berkenaan sehingga 1964.
Beliau juga menyatakan kebanyakan ahli majlis kini bukan terdiri daripada kalangan profesional kerana kriteria utama pelantikan mereka adalah kesetiaan kepada parti.
"Dengan pilihan raya kerajaan tempatan, rakyat dan bukan parti politik dapat memilih ahli majlis untuk menjaga kepentingan mereka.
"Ini mungkin buruk bagi parti, tetapi ia baik untuk rakyat. Menuju ketelusan dan profesionalisme dan dengan memilih ahli majlis, ini boleh dijamin," katanya.
Zuraida semalam berkata pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih datuk andar dan presiden pihak berkuasa tempatan boleh diteruskan sebaik sahaja ekonomi negara stabil.
Beliau berkata kementerian itu akan mengkaji perkara tersebut dalam masa enam bulan akan datang, tetapi menjangka pilihan raya tersebut boleh diadakan dalam masa tiga tahun.

