Kadir Jasin ugut Raja Melayu?
ULASAN | Saya terkejut membaca tulisan Datuk Kadir Jasin (DKJ) seperti tersiar di Sinar Harian dan dipetik oleh Free Malaysia Today (FMT).
Ini adalah kerana DKJ adalah Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (MPK-PH), satu badan yang dilihat sangat berpengaruh dan berkuasa di bawah kerajaan baru, malah dilihat lebih berpengaruh dan tinggi daripada kabinet itu sendiri.
Majlis ini telah bertindak dan mengeluarkan pelbagai kenyataan hatta sebelum kabinet dibentuk lagi.
Kenyataan DKJ dilihat sebagai satu isyarat dan amaran kepada Raja-Raja Melayu apabila beliau secara terang-terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat. Lebih tepat lagi ia berbaur hasutan.
Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baru sedang bergerak ke arah reformasi institusi raja dan cuba meminda perlembagaan seperti pernah dilakukan pada awal 90an yang telah mengheret kita semua dalam pertembungan raja dan rakyat?
Dari tulisan Ketua Media dan Komunikasi MPK-PH ini ia sangat jelas sekali. Sekali lagi bagi saya ia bersifat ugutan dan hasutan.
DKJ sepatutnya menghormati penjelasan yang telah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja Raja Melayu yang telahpun mengeluarkan kenyataan bersabit isu yang dibangkikan pihak tertentu, yang disentuh beliau di awal para tulisannya.
Apakah ini suara atau suara MPK-PH? Atau suara orang berkuasa yang lain? Apakah DKJ merasakan beliau kebal dan dilindungi untuk mengeluarkan kenyataan sebegini?
Akan ditentang habis-habisan
Tulisan DKJ yang mengungkit kemewahan pihak istana, pembiayaan oleh rakyat dan lain-lain jelas untuk menyemarakkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap institusi raja. Ke arah mana DKJ dan MPK-PH ingin membawa kita setelah “mendapat mandat rakyat”?
Malah sebutan oleh DKJ bahawa raja tidak kekal boleh disifatkan sebagai satu percubaan mengugut dan menggugat kedudukan dan kemuliaan institusi raja-raja Melayu.
Namun perlu kita peringatkan DKJ bahawa rakyat terutamanya orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90an berulang. Kita juga berharap kerajaan jangan cuba keterlaluan dalam tindak tanduk mereka, terutama dalam percubaan yang boleh disifatkan menggugat kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan paling penting perlembgagaan itu sendiri.
Sebarang usaha meminda perlembagaan saperti yang cuba dibayangkan oleh DKJ akan kita tentang habis habisan.
Kita akur dengan mandat rakyat kepada HARAPAN. Kerana itulah kita pastikan peralihan kuasa berjalan secara licin dan tanpa halangan walau mandat itu amat nipis sekali, malah ketua kerajaan sendiri mempunyai mandat tak sampai 10 peratus di parlimen.
Kita juga ingin mengingatkan DKJ bahawa mandat dari pengundi Melayu tidak bersama PH. Statistik jelas menunjukkan lebih 70 peratus undi orang Melayu tidak memilih PH.
Kotakan segala janji
Sepatutnya DKJ dan MPK-PH menumpukan usaha utk menunaikan segala janji 100 hari pertama yang belum ditunaikan. Rakyat sedang menunggu dengan sabar penghapusan cukai GST (bukan zero rated), penghapusan tol, penstabilan harga minyak pada RM1.50 seliter, pendidik percuma, penurunan harga barang dan lain-lain. 'Harapan' Rakyat dan bukannya ugutan terhadap instutusi Raja atau percubaan meminda perlembagaan.
Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut untuk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas tulisan DKJ,dan berharap keluhuran undang-undang dapat dipertahankan.
Saya juga berharap DKJ berlapang dada dengan catitan saya ini. Sebagai seorang yang telah melalui episod awal 90-an, saya tidak akan membiarkan peristiwa tersebut berulang lagi semata-mata kerana dendam peribadi.
TAN SRI ANNUAR MUSA Merupakan anggota parlimen Ketereh
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

