mk-logo
Berita
AMANAH gesa gaji munasabah pekerja tempatan
Diterbitkan:  May 28, 2018 3:05 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik keputusan kerajaan yang mahu mengkaji semula perjanjian dengan negara luar berkaitan pengambilan pekerja asing ke negara ini kerana ia akan memberi peluang kepada pekerja tempatan.

Bagaimanapun, AMANAH menggesa kerajaan menyemak semula gaji bagi pekerja tempatan supaya lebih munasabah dan relevan dengan keadaan semasa.

"Pemuda AMANAH Nasional memuji tindakan drastik Menteri Sumber Mansuia, M Kula Segaran yang menegaskan akan mengkaji semula perjanjian mengenai pekerja asing dengan semua negara yang terlibat dalam usaha mengurangkan kebergantungan dengan mereka," kata ketua pemuda parti itu, Mohd Sany Hamzah.

Sany berkata beliau mengharapkan isu peluang pekerjaan akan menjadi agenda utama kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagaimana tawaran HARAPAN pada PRU14 untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan.

"Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar isu peluang pekerjaan perlu menjadi agenda keutamaan kerajaan persekutuan.

"Dengan pengurangan pekerja asing, ia akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada pekerja tempatan untuk memperolehi pekerjaan.

"Namun, kami mengharapkan agar gaji yang ditawarkan lebih realistik dan relevan dengan keadaan semasa," kata Sany yang juga ADUN Templer dalam suatu kenyataan hari ini.

Menteri sumber manusia, pada 24 Mei lalu memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing.

Kula berkata semua perjanjian kerajaan terdahulu melibatkan pengambilan pekerja asing akan disemak semula.

“Kita akan benarkan pekerja asing untuk masuk bekerja tetapi ia akan berdasarkan keperluan.

“Keutamaan akan tetap diberikan kepada pekerja kita dahulu, Kita utamakan rakyat Malaysia dahulu, yang lain, kedua,” katanya pada sidang media menjawab soalan pemberita.

Perkara itu pernah dibincangkan pimpinan HARAPAN yang merujuk kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 2015 yang mengumumkan seramai 1.5 juta pekerja asing Bangladesh akan dibawa masuk dalam masa tiga tahun.

Lihat Komen
ADS