Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diminta menyiarkan semula berita berbahasa Tamil dan Mandarin di saluran televisyennya, Bernama News Channel (BNC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata penyiaran semula siaran berita itu yang telah dihentikan beberapa tahun lepas adalah antara perkara yang beliau mahu dipertimbangkan agensi berita itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu kunjungan sulungnya ke ibu pejabat Bernama di sini hari ini, selepas dilantik untuk menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 21 Mei lepas.

Hadir sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Pada 2015, Zulkefli yang ketika itu Pengurus Besar Bernama berkata pemberhentian siaran berita Mandarin dan Tamil menerusi BernamaTV (kini BNC) bertujuan mengurangkan kos operasi stesen televisyen tersebut.

Gobind dalam ucapannya turut melahirkan keyakinan bahawa warga Bernama akan memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang menjanjikan kebebasan media yang lebih terbuka.

Beliau turut mengingatkan warga Bernama supaya bekerja bersama-samanya dengan 'mind set' yang baharu demi kemajuan Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dalam ucapannya berkata Bernama kini mengharapkan gaya kepimpinan dan panduan baharu untuk tahun-tahun mendatang di bawah pentadbiran baharu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Bernama telah beroperasi sebagai agensi berita nasional selama 50 tahun menerusi Akta Parlimen yang peranan asasnya ialah membuat laporan secara adil dan inklusif tentang hal ehwal dan pembangunan negara.

"Saya percaya sebagai veteran di Bernama selama 40 tahun lalu bermula sebagai pemberita kadet, wartawan Bernama masa lampau dan kini telah berjaya memenuhi aspirasi bapa pengasas kita, tidak lain tidak bukan Perdana Menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman Putra,” kata beliau.

Dalam lawatan ke Bernama kira-kira dua jam, Gobind turut melawat perkhidmatan Jabatan Pengarang, Bernama Multimedia News Centre, bilik berita BNC dan Bernama Radio, sebelum mengadakan sidang akhbar.

-Bernama