Penduduk minta SPRM siasat semula jualan tanah pada YWP
Penduduk Taman Tiara Titiwangsa hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti semula aduan berhubung proses pemberian pemilikan tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi pembinaan kondominium di kawasan tersebut.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tiara Titiwangsa, Datuk Mohamad Yusof A Bakar berkata terdapat keraguan dalam proses pemindahan hak milik tanah seluas 7.6 ekar yang pelan asalnya dicadangkan untuk dijadikan kawasan hijau dan bukan untuk pembinaan kondominium.
"Ini adalah kawasan lot banglo yang setiap satu ekar mempunyai kepadatan penduduk seramai 32 orang. Apabila kondominium itu siap dibina, kepadatan penduduk akan bertambah sehingga 800 orang setiap ekar dan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, " katanya.
Beliau berkata kepada pemberita di pejabat Pusat Khidmat Anggota Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, penduduk telah menghantar aduan terhadap pengerusi YWP yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada SPRM pada Jun 2017 susulan wujudnya dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pemilikan tanah tersebut.
Namun, aduan tersebut ditolak SPRM kerana mendapati tiada unsur rasuah. -Bernama

