Kit Siang: PRU14 cerminan Impian Malaysia
Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang percaya rakyat Malaysia yang mengundi untuk menyingkirkan BN pada PRU ke-14 berbuat demikian untuk mengecapi "Impian Malaysia".
Dalam wawancara bersama stesen radio BFM hari ini, Lim berkata rakyat tanpa mengira kaum dan budaya telah bersama-sama memenuhi cita-cita Tunku Abdul Rahman.
"Tunku (pernah menggesa rakyat menjadi) cahaya dalam dunia yang sukar dan penuh masalah...kali ini, kita telah menjadi cahaya itu," katanya.
Ketika ditanya apakah yang membuatnya terus terlibat dalam politik setelah lebih 50 tahun, Lim berkata ini kerana beliau telah mejadikan "Impian Malaysia" sebagai cita-cita hidupnya.
"Kita adalah rakyat Malaysia. Kita patut berbuat sesuatu untuk menjadikan negara ini lebih baik dan saya fikir kebanyakan rakyat juga begitu. PRU kali ini telah menunjukkannya.
"Dalam kes saya ia adalah komitmen sepanjang hayat, tetapi seluruh rakyat mahu melihat Malaysia yang lebih baik. Ia sebahagian daripada 'Impian Malaysia'," katanya yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri.
Katanya, Pakatan Harapan adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia dan beliau percaya "Impian Malaysia" akan menjadikan gabungan empat parti itu terus bersatu.
"Sama seperti tiada siapa fikir kita (HARAPAN) mampu menang pada 9 Mei, tiada sebab juga mengapa kita tidak boleh berjaya.
"Perlu diingat bahawa kita tidak boleh benarkan perbezaan kita mencapai tahap yang membuatkan kita hancur dan gagal. Kita bersama-sama untuk satu objektif, untuk membina semula Malaysia," katanya lagi.
Lim berkata negara memerlukan media bebas, masyarakat sivil yang kukuh dan pembangkang yang kuat untuk memberikan semak dan imbang kepada kerajaan baru.
"Saya sedia memberi kelas percuma kepada Umno dan MCA untuk bagaimana menjadi pembangkang yang berkesan dan membina," katanya yang sudah sepuluh penggal menjadi anggota parlimen pembangkang, iaitu sejak 1969.

