Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri tak restu Tabung Kereta Baru Mat Sabu
Diterbitkan:  May 28, 2018 9:07 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Memiliki tarikan tersendiri selama ini, susuk Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selalu tidak lepas daripada perhatian.

Sebagai tokoh yang akrab dengan orang ramai banyak kisah mengenai presiden AMANAH itu tersebar, termasuk kononnya ada usaha mengumpul derma bagi mendapatkan beliau sebuah kereta baru.

Menegaskan bahawa perkara itu tidak benar, Mohamad berkata 'kempen' sedemikian ditularkan melalui aplikasi WhatsApp atas nama "Tabung Kereta Baru Mat Sabu”.

"Ingin saya tegaskan bahawa saya akan menggunakan hak yang saya terima sebagai seorang menteri, namun tidak pula akan mengambil lebih daripada itu.

"Pada masa sama, tidak ada sebarang derma yang boleh dikutip menggunakan nama saya tanpa sebarang persetujuan dan kebenaran daripada saya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Mohamad terkenal sebagai seorang tokoh politik yang bersahaja, namun garang semasa di atas pentas, selain berkesan menggerakkan orang ramai menyertai sesuatu himpunan.

Bertanding di kerusi Kota Raja, Selangor, Mohamad dihantar pengundi di kawasan parlimen berkenaan dengan majoriti 71,142 undi, mengetepikan cabaran daripada PAS dan BN.

Sebagai salah seorang pemimpin komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohamad diperuntukkan portfolio kanan dalam kerajaan, iaitu Kementerian Pertahanan.

Sejak itu pergerakan, aktiviti dan gambar-gambar mengenai Mohamad semakin menjadi perhatian serta bualan masyarakat.

Menurut Mohamad sebelum ini tular mengenai gambar dan khabar kononnya beliau mahu memandu kereta Perodua Viva milik anaknya ke Kementerian Pertahanan pada hari pertamanya bertugas sebagai menteri.

Kedua, katanya, tersebar dan tular juga gambar kononnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berbuka puasa di rumahnya.

"Sedangkan gambar tersebut merupakan gambar lama ketika kedua-dua tokoh tersebut makan malam di rumah saya tahun lalu," katanya.

Justeru Mohamad berkata segala maklumat mengenai dirinya hanya sahih jika dikeluarkan melalui kenyataan rasmi beliau, atau akaun media sosial rasmi Mohamad Sabu - Menteri Pertahanan Malaysia, Twitter: @MSabu_Official dan Instagram: msabu_official.

Lihat Komen
ADS