Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Prestasi BERSATU terjejas kerana 'penipuan' SPR

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "penipuan" oleh badan pengendali pilihan raya menyebabkan ada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kalah dalam PRU ke-14 lalu.

Menurut perdana menteri beliau menerima laporan mengenai isu berkenaan semasa mesyuarat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

"Kami dapat laporan-laporan berkenaan kes penipuan yang dilakukan oleh SPR yang menyebabkan beberapa calon BERSATU kalah.

"Ada setengahnya dah menang (dalam kiraan undi), tiba-tiba datang peti-peti undi lain, dan dengan peti undi lain itu pula kami kalah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat BERSATU hari ini.

Dalam kes lain pula, kata Dr Mahathir, ada kes undi rosak melihatkan jumlah sehingga ratusan.

"Ada sampai 700 hingga 800 undi rosak.

"Takkanlah orang Malaysia ini bodoh sangat (kerana tidak tahu mengundi sehingga kertas undi dianggap rosak).

"Itulah sebabnya prestasi kita (BERSATU) tidak begitu baik walaupun kita masih gembira kita menang dalam PRU ini," katanya.

Syarat ahli Umno

Sebelum itu Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU menghadiri mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan bermula jam 3 petang.

Kata Dr Mahathir isu berkenaan bukan saja menjejaskan kemenangan BERSATU malah parti lain dalam Pakatan Harapan.

Justeru katanya BERSATU sedang meneliti kes berkenaan untuk dipertimbangkan bagi tindakan selanjutnya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyiasat Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, Dr Mahathir berkata beliau difahamkan pengerusi SPR berkenaan mahu meletakkan jawatan.

"Jika ada apa-apa kesalahan yang dilakukan, tindakan akan diambil mengikut undang-undang," katanya.


Baca Pemimpin, ahli sabotaj Umno akan diambil tindakan


Sementara itu Dr Mahathir memberitahu BERSATU menerima banyak permohonan untuk menyertai parti itu selepas PRU ke-14, termasuk di kalangan anggota Umno.

Menyedari kemungkinan ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dan amaran sesetengah pihak yang meminta HARAPAN berhati-hati, Dr Mahathir berkata permohonan berkenaan akan diterima selepas individu terbabit memenuhi syarat ditetapkan.

"Untuk orang Umno, BERSATU putuskan mereka boleh menyertai parti ini selepas mereka mengisytiharkan keluar dari Umno dan menjadi bebas, kemudian nyatakan pendirian terhadap kerajaan HARAPAN, barulah kami boleh pertimbang untuk menjadi ahli," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS