Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC gesa MEF henti beri alasan nafi gaji munasabah
Diterbitkan:  May 29, 2018 3:19 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengkritik Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) kerana memberikan alasan "dangkal" bagi menafikan golongan pekerja menerima gaji yang munasabah.

Pentadbiran BN pada masa lalu telah menafikan hak pekerja di Malaysia Timur, dakwa Setiausaha Agung MTUC, J Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

"MEF tidak boleh jahil mengenai hakikat gaji minimum di Malaysia Timur berada pada tahap di bawah garis kemiskinan.

"Berapa banyak lagi eksploitasi yang harus ditanggung pekerja-pekerja Malaysia Timur?" Soal beliau.

Solomon mengulas Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan yang berkata tahap produktiviti rendah pekerja perlu diselesaikan sebelum gaji minima standard diperkenalkan di seluruh negara.

Shamsuddin dipetik Malaysian Insight sebagai berkata janji kerajaan Pakatan Harapan yang baru untuk menyamakan standard gaji minimum secara nasional dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya itu mesti mengambil kira beban perniagaan terutama di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Salomon memaklumkan kerajaan BN sebelum ini telah mengabaikan isu-isu mengenai pekerja kerana paras gaji minimum yang ditetapkan ketika itu tidak mencukupi.

"Produktiviti digunakan sebagai alasan untuk ini, adakah kita benar-benar tidak produktif sebagai sebuah negara?

"Produktiviti dapat ditingkatkan melalui penghapusan rasuah dan pengurusan yang lebih baik oleh majikan," katanya.

Salomon menegaskan kegagalan syarikat untuk mengurus perniagaan dengan cekap tidak boleh membebankan pekerja, terutama daripada golongan berpendapatan rendah.

Ekonomi Malaysia Timur dijarah

Beliau mendakwa pihak majikan mendapat manfaat sistem pengurusan rasuah di negeri-negeri di Malaysia Timur.

"Ekonomi kedua-dua negari ini dirogol dan dijarah segolongan minoriti kecil, yang dipersetujui (tindakannya) oleh pemerintah persekutuan yang dahulu.

"Dalam proses ini, ketidaksamaan pendapatan meningkat dan golongan miskin menjadi semakin miskin. Perkara ini mesti berhenti dan kita tidak boleh terus membenarkan rakyat menanggung beban rasuah dan ketidakcekapan."

Oleh itu, Salomon berkata MEF perlu melihat kepentingan rakyat biasa, supaya ekonomi secara keseluruhan dan juga perniagaan dapat memberi manfaat.

"Ketamakan keuntungan tidak sepatutnya diutamakan dengan mengorbankan hak setiap pekerja untuk mendapatkan gaji yang munasabah," kata Salomon.

Lihat Komen
ADS