TPM: HSR bukan keutamaan pada masa ini
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bukan keutamaan pada masa ini.
Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan projek HSR akan dibatalkan semalam.
"Pada masa ini ia bukan keutamaan dan saya fikir Perdana Menteri mempunyai alasan untuk melakukan itu.
"Jadi, saya fikir apa yang telah diputuskan oleh perdana menteri, saya fikir dia telah mengambil kira banyak perkara (seperti) sama ada kita mampu dan sama ada kos efektif," kata Wan Azizah kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Lembah Pantai malam ini.
Beliau berkata dalam pertemuan mereka dengan Lee Hsien Loong, perdana menteri Singapura itu menyebut bahawa republik itu tetap komited terhadap projek berkenaan.
Bagaimanapun, beliau juga berkata Singapura masih terbuka untuk perbincangan mengenai terma dan bagaimana mereka boleh menyelesaikan sebarang isu dengan baik sebagai negara jiran, katanya.
Wan Azizah juga mengulas mengenai rancangan untuk merundingkan semula projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang disifatkannya sebagai "perjanjian aneh".
"Kami tidak mahu membayar pampasan yang akan menjadi kerugian bagi negara kita, jadi kita perlu melihatnya dengan teliti tetapi ia merupakan satu perjanjian yang aneh," katanya.

