Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan terhadap hak jagaan Equanimity pada k'jaan AS

Peguam yang mewakili pemilik berdaftar dan penuntut Equanimity telah memfailkan rayuan terhadap perintah mahkamah bulan lalu yang memberikan hak penjagaan kapal layar mewah itu kepada kerajaan AS.

Notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan Kesembilan AS pada hari Isnin di Mahkamah Daerah Pusat California - mahkamah di mana saman sivil pelucuthakan terhadap Equanimity masih belum selesai.

Peguam juga telah memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah hak jagaan itu sementara menunggu selesai kes rayuan tersebut.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) telah memfailkan saman sivil pelucuthakan ke atas Equanimity pada 15 Jun tahun lepas, dengan mendakwa bahawa kapal bernilai AS$250 juta itu dibeli menggunakan hasil dana yang didakwanya diselewengan dari 1MDB yang telah disalurkan menerusi sistem kewangan AS.

Ia mendakwa bahawa kapal itu dimiliki untuk manfaat ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho melalui satu siri perantara termasuk Equanimity Ltd.

Saman sivil itu itu adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya 30 saman yang berkaitan dengan 1MDB yang difailkan oleh DOJ sejak dua tahun lalu untuk mendapatkan semula wang yang didakwa "dicuri" dari MDB.

1MDB sebelum ini menegaskan bahawa tidak ada wangnya yang hilang, manakala Low dilaporkan mendakwa bahawa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik.

Pada 27 Mac, hampir sebulan selepas kapal itu dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia yang bertindak atas permintaan FBI, DOJ memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan kapal itu untuk membawanya kembali ke AS.

Ia mendakwa bahawa kru kapal itu pernah sebelum ini cuba mengelakkan rampasan, dan oleh itu tidak boleh dipercayai untuk membawa kapal itu ke AS walaupun di bawah perintah mahkamah.

Hakim daerah California, Dale S Fischer membenarkan permohonan DOJ pada 15 Mei, dan memerintahkan kapal itu diserahkan kepada kerajaan AS untuk dibawa balik ke AS.

Bagaimanapun, beliau juga mengarahkan perintah penjagaan itu ditangguhkan pelaksanaannya selama 30 hari untuk memberi masa kepada penuntut untuk memfailkan rayuan sebelum perintah itu berkuatkuasa.

Ini selepas sebuah mahkamah Indonesia memutuskan bahawa rampasan kapal itu pada 28 Feb tidak sah kerana ketidakpatuhan prosedur dan memerintahkan polis Indonesia mengembalikan kapal itu kepada pihak yang menuntutnya.

Bagaimanapun, kapal layar mewah itu belum meninggalkan perairan Indonesia.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS