Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berpendapat Majlis Media Malaysia (MMC) yang hendak ditubuhkan hendaklah beroperasi dengan bebas, dikawal sendiri oleh pengamal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media.

Setiausaha agungnya, Hong Boon How dalam kenyataan berkata, ahli-ahli NUJ berminat menyertai majlis tersebut jika ia berperanan untuk menjaga kepentingan pengamal dan industri media.

"Kesatuan telah menjalankan satu kajian di kalangan anggotanya dari Mac hingga Oktober 2003 dan mendapati bahawa anggota itu berminat untuk mewujudkan satu badan bagi mengawal tingkahlaku profesional media," katanya.

Hong mengulas kenyataan Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin pada minggu lepas yang menggesa kesatuan itu mempercepatkan penubuhan MMC, yang diilhamkan pada tahun 1960-an oleh sekumpulan editor bagi menjaga kepentingan pengamal media.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata kajian itu mendapati penubuhan badan itu hendaklah didahului dengan meminda dan memansuhkan beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan media, iaitu Akta Percetakan dan Penerbitan Akhbar, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi, dan memperkenalkan satu Akses terhadap Akta Penerangan.

Beliau berkata NUJ telah menghantar satu salinan laporan kajian itu kepada Jabatan Perdana Menteri pada 20 Mei tahun lepas dan masih menunggu jawapan.

Katanya NUJ menolak deraf asal MMC kerana anggotanya bimbang wartawan tidak diwakili sepenuhnya dan majlis itu mungkin mengadakan sekatan baru kepada media tempatan.

Beliau mendakwa NUJ tidak dibawa berunding mengenai cadangan penubuhan MMC pada peringkat penggubalan.

"Kesatuan itu bersedia bekerjasama dengan Zainuddin untuk mengusahakan lagi bagi menubuhkan majlis berkenaan atau sebarang badan yang boleh meningkatkan profesionalisme dan kebebasan media tempatan," kata beliau.