Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sirul tak boleh terus tinggal di Australia jika hukuman mati dibatalkan'
Diterbitkan:  May 30, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Tidak masuk akal jika Australia terus membenarkan Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibuu tinggal di negara itu sekiranya hukuman matinya dibatalkan.

Ramkarpal Singh, peguam yang mewakili bapa Altantuya, Setev Shaariibuu menegaskan Sirul tidak layak untuk membuat tawaran berkenaan.

"Sekiranya hukuman matinya ditukar kepada penjara seumur hidup oleh pihak berkuasa di sini, tidak ada alasan mengapa Australia terus menahannya dan dia harus dihantar kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman," kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor dari DAP itu dalam satu kenyataan.

Ramkarpal mengingatkan bahawa Sirul telah didapati bersalah kerana membunuh dan dia perlu bekerjasama dengan polis Malaysia bagi mencari siapa yang mengarahkannya membunuh Altantuya.

"Tidak masuk akal mengatakan dia dibenarkan tinggal di Australia dalam keadaan sedemikian. Dan mengapa dia dibenarkan oleh pihak berkuasa Australia untuk akses kepada pihak akhbar sehingga dia dapat mengadakan sidang media?

"Adakah ini cara tahanan dilayani di Australia?" soal Ramkarpal.

Ramkarpal merujuk kepada ucapan Sirul dalam akhbar British Guardian yang memetiknya sebagai berkata dia tidak akan mendedahkan identiti orang atau individu yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, Sirul menyatakan kesanggupan untuk kembali ke Malaysia sekiranya dia diberikan pengampunan penuh.

Dia juga menolak tawaran penjara seumur hidup dengan mengatakan lebih suka tinggal di Australia di mana dia kini ditahan di Pusat Tahanan Villawood di Sydney.

Malah, Sirul menafikan membunuh Altantuya dan mengatakan dia menyerahkan wanita itu kepada rakannya, Azilah Hadri, di tempat kejadian pembunuhan di Puncak Alam, Shah Alam pada malam 19 Oktober 2006.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di Malaysia.

Serahkan Sirul kepada Malaysia

Dalam wawancara yang dijalankan oleh Guardian di Villawood, Sirul menyatakan dia takut jika kembali menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Malaysia, dia akan dibunuh.

Ramkarpal (di atas) berkata Australia sepatutnya melakukan kewajipannya apabila tiba masanya.

"Keadilan mesti wujud dalam kes Altantuya dan Australia sepatutnya memainkan peranannya untuk memastikan perkara itu dicapai dengan menghalau Sirul ke Malaysia apabila hukuman mati dibatalkan atau dimansuhkan," katanya.

Pada tahun 2015, Sirul dan Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Altantuya. Kedua-duanya merupakan anggota pengawal pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada masa itu.

Sirul melarikan diri ke Australia tiga tahun lalu sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan pembebasannya oleh mahkamah rayuan.

Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisi Sirul atas alasan undang-undang Australia tidak mengiktiraf hukuman mati.

Gesaan untuk membuka semula kes Altantuya muncul semula selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) dipilih sebagai kerajaan persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Lihat Komen
ADS