Jawatankuasa khas 1MDB diberi taklimat oleh tiga agensi
Jawatankuasa khas mengenai 1MDB hari ini diberi taklimat oleh wakil Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti dan Jabatan Ketua Audit Negara.
Pengerusinya Tan Sri Abu Talib Othman berkata jawatankuasa itu telah mendapatkan penjelasan daripada tiga agensi berhubung laporan Jabatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang telah dinyahsulit.
"Mereka memberi taklimat dan menjelaskan kepada kami mengenai laporan 1MDB, yang kini telah dibuka semula," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya bila siasatan mengenai 1MDB selesai, Abu Talib yang pernah menjadi peguam negara berkata: "Hanya Tuhan yang tahu".
Jawatankuasa lima anggota itu dibentuk oleh Putrajaya tidak lama selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan perdana menteri.
Jawatankuasa ini telah ditugaskan menyelaras dan mengawasi tugas pasukan khas yang menyiasat 1MDB serta mengambil langkah untuk membawa pulang aset 1MDB dari luar negara.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan Jabatan Ketua Audit Negara untuk menyiasat 1MDB pada tahun 2015. Bagaimanapun, beliau tidak mengotakan janjinya untuk membuka laporan audit berkenaan kepada awam.
Ia hanya dibuka kepada awam selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa.
Laporan audit itu selari dengan tuduhan mengenai salah laku yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ), yang didakwa oleh pentadbiran Najib sebagai tuduhan tanpa bukti.

