Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Datuk Seri Abdullah Ahmad dibayar gaji sebanyak RM85,000 sebulan.

Loke mengesahkan perkara itu selepas isu mengenainya tular di media sosial.

"Gaji dan elaun sebenarnya, selepas bonus adalah RM85,000 sebulan (pada 2018). Ia lebih daripada gaji asas perdana menteri iaitu RM20,000 ke atas sebulan," kata Loke dalam sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan Mavcom tidak dibiayai oleh kerajaan, selain pemberian geran sebanyak RM90 juta.

Beliau berkata pendapatan tahunan Mavcom adalah RM35 juta manakala kos operasi tahunannya ialah RM25 juta.

Loke menambah beliau tetap membangkitkan isu itu dalam kabinet dan perdana menteri telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mengkaji semula gaji pengerusi dari badan berkanun, suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Loke juga berkata pada masa ini, Mavcom tidak akan mengalami nasib yang sama seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

"Mavcom akan kekal buat masa ini. Kami tidak bercadang untuk menghapuskan Mavcom, "katanya.

Mengenai isu berasingan, Loke berkata pencarian MH370 berakhir pada hari ini.

Kementerian itu akan menyediakan laporan akhir mengenai pencarian pesawat yang hilang itu dan ia akan dibentangkan kepada keluarga penumpang sebelum dikeluarkan kepada orang ramai.

"Saya ingin mengulangi bahawa aspirasi untuk mencari MH370 tidak diabaikan dan kita tetap berharap akan dapat menemui jawapan yang kita cari," katanya.

Lihat Komen
ADS