Kerajaan negeri Johor mengikut jejak langkah Putrajaya apabila mengurangkan gaji anggota exco sebanyak 10 peratus.

Dalam satu kenyataan pada petang ini, Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata Johor menjadi negeri pertama mengikut langkah kabinet persekutuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan gaji anggota kabinet dipotong sebanyak 10 peratus sebagai tanda komitmen terhadap langkah penjimatan.

Pentadbiran Mahathir mendakwa pentadbiran terdahulu menaikkan hutang dan liabiliti sehingga RM1 trilion, yang sebahagian besarnya tersembunyi sebagai hutang kerajaan.

Sabtu lalu, Osman berkata Johor akan meneruskan pemotongan gaji setelah mendapat persetujuan semua anggota exconya.


Baca: Potong gaji jika semua exco setuju


Beliau menambah dalam kenyataannya hari ini bahawa ketua pembangkang negeri akan diiktiraf dengan diberikan elaun dan pejabat di dewan undangan negeri.

Johor akan menjadi negeri ketiga selepas Pulau Pinang dan Selangor yang mengiktiraf peranan pembangkang.

Tidak lama selepas dilantik menjadi menteri besar, Osman berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan langkah untuk mengiktiraf pembangkang kerana menghadapi kekangan kewangan.

Beliau juga berkata pada masa itu kerajaan negeri tidak akan memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang - satu langkah yang kemudian mendapat kritikan daripada pemimpin HARAPAN sendiri.

Osman kemudian mengesahkan semua anggota Dewan Undangan Negeri, termasuk dari pihak pembangkang akan menerima peruntukan tahunan yang sama iaitu sebanyak RM50,000 untuk memastikan khidmat diberikan kepada rakyat.