DAP S'wak gesa SPRM siasat dua projek jalan raya
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dua projek jalan raya mega di negeri ini.
Ketika hadir di pejabat SPRM cawangan Kuching hari ini, Chong menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kos yang tinggi dalam projek Jalan Pesisir dan projek Laluan Kedua Sarawak dan bagaimana kontraknya diberikan.
Beliau ditemani oleh Setiausaha publisiti DAP Sarawak Sarawak Abdul Aziz Isa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan Wong King Wei.
Menurut Chong, projek Jalan Pesisir yang dianggarkan bernilai RM5 bilion dan projek Laluan Kedua Sarawak yang bernilai RM6 bilion akan dibiayai oleh kerajaan negeri.
"Memandangkan dua projek yang dicadangkan kini berada di peringkat akhir pemprosesan oleh Jabatan Kerja Raya negeri, dan surat pemberian itu munngkin dikeluarkan dalam masa satu hingga dua minggu, kami meminta supaya siasatan dijalankan dengan serta-merta.
"Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas jabatan itu, kedua-dua projek yang dicadangkan itu jelas terlalu mahal," katanya.
Jawatan menteri pengangkutan dan infrastruktur di Sarawak disandang oleh Tan Sri James Jemut Masing.
Chong menegaskan bahawa tiada tender terbuka dibuat oleh JPN negeri bagi memilih kontraktor bagi kontrak pembinaan jalan yang dirancang.

