Harga minyak naik, kerajaan dapat lebih hasil dari Petronas
Malaysia akan mengutip AS$2.3 bilion cukai dan dividen dari Petronas tahun ini susulan keuntungan daripada peningkatan harga minyak.
Pentadbiran baru Tun Dr Mahathir Mohamad kini bergantung kepada syarikat tenaga negara itu susulan keputusan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang didakwa membebankan rakyat, lapor Reuters.
Keuntungan Petronas dalam suku pertama tahun ini dilapor meningkat 26 peratus, membolehkan Malaysia mengutip hasil lebih RM8 bilion hingga RM9 bilion tahun ini, menurut pegawai khas menteri kewangan Ong Kian Ming.
Katanya, peningkatan hasil itu akan diperoleh melalui cukai korporat dan dividen kepada kerajaan, tetapi perbincangan masih berlangsung.
Usaha mendapat reaksi Petronas setakat ini belum berhasil.
Petronas membayar RM17.4 bilion cukai dan RM16 bilion dividen kepada kerajaan tahun lepas.

