Laporan: Anwar mengadap Sultan Selangor esok
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi perkenan untuk meghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok, lapor The Star.
Anwar diterima menghadap Sultan Sharifuddin selepas empat tahun krisis pelantikan menteri besar Selangor, yang menyaksikan hubungan tegang dengan istana.
Sultan Sharafuddin menyalahkan PKR berikutan krisis itu dan kemudian membatalkan gelaran 'Datuk Seri' kepada Anwar.
Krisis itu berlaku selepas PKR mahu mengadakan pilihan raya kecil Kajang bagi membuka jalan kepada Anwar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Namun selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan kesalahan liwat terhadap bekas ketua pembangkang itu, rancangan itu bertukar dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan menggantikan tempat Khalid.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh pihak istana.
Sultan Sharafuddin akhirnya memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggantikan Khalid.
Anwar diterima menghadap Sultan Selangor susulan pertemuan dengan beberapa raja Melayu dari negeri lain sebelum ini.
Sebelum ini Anwar telah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

