Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: RM100 bilion untuk cipta 100k kerja tak cekap

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan bahawa projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan menjadi pemangkin ekonomi bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

"Anda mahu membelanjakan RM60 bilion hingga RM100 bilion supaya 100,000 orang boleh bekerja, itu tidak cekap," kata Mahathir ketika ditemui pemberita di Putrajaya malam ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai HSR.

Najib berkata HSR akan mewujudkan 110,000 pekerjaan pada permulaan projek itu dan akan berkembang kepada 442,000 peluang pekerjaan menjelang 2069.


Baca: Najib: HSR boleh jana RM650 bilion, lebih 400k kerja


Beliau berkata pada tahun itu, HSR juga boleh menjana pendapatan negara kasar sebanyak RM650 bilion.

Mahathir membatalkan HSR sebagai sebahagian usaha penjimatan kos kerajaan.

Bagaimanapun perdana menteri berkata kerajaan perlu membayar RM500 juta kepada Singapura sebagai pampasan untuk membatalkan projek itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara berasingan, Mahathir berkata kerajaan akan merundingkan semula konsesi tol.

"Kami akan runding semula," katanya ringkas.

Beliau menjawab soalan mengenai konsesi tol lebuh raya Plus, yang sepatutnya berakhir esok, 31 Mei.

Bagaimanapun, kerajaan terdahulu pada 2011 melanjutkan konsesi tol sehingga 2038, berikutan penswastaannya ​​pada tahun yang sama.

Lihat Komen
ADS