Kit Siang saran pelan integriti nasional untuk Malaysia 'baru'
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyarankan pembentukan pelan integriti nasional untuk memerangi rasuah.
Malaysia baru, katanya memerlukan pelan integriti nasional yang akan mengubah Malaysia dari sebuah kleptokrasi global, menjadi negara berintegriti tinggi dalam tempoh 10 tahun.
Pelan integriti nasional untuk Malaysia baru itu perlu dibahaskan dan diterima pakai oleh Parlimen, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ppada tahun 2004, menteri perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah melancarkan pelan integriti nasional yang bertujuan mewujudkan masyarakat Malaysia yang beretika.
Lim berharap dengan adanya pelan integriti nasional yang baru itu, hasilnya akan dapat dilihat dalam tempoh setahun melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan Transparency International (TI).
Di samping itu, katanya perlu juga ada peningkatan kukuh dan mantap terhadap prestasi Malaysia dalam CPI pada tahun-tahun berikutnya.
Jika tidak, katanya, ketua pesuruhjaya SPRM dan badan pengawasan anti-rasuah yang lain, mesti bertanggungjawab kepada parlimen dan negara.
Lim juga menyatakan bahawa dalam CPI 2017, Malaysia berada di kedudukan terburuknya dalam tempoh 23 tahun, jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara.
Lim berkata, sejarah CPI dalam tempoh 23 tahun - dari 1995 hingga 2017 - menunjukkan (kedudukan) Malaysia tidak berubah, dan bahkan semakin terbelakang dalam integriti dan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam tempoh dua dekad yang lalu, dibandingkan dengan beberapa negara, seperti China dan Indonesia, yang telah memperlihatkan penambahbaikan yang ketara, dengan langkah yang mantap.
Walaupun China dan Indonesia juga bermula dari kedudukan tercorot apabila CPI pertama kali dilancarkan pada tahun 1995, tetapi kedua-dua negara telah memperlihatkan penambahbaikan yang ketara, katanya.
Sekiranya kedua-dua negara itu terus meningkatkan skor CPI pada kadar yang tetap, katanya, mereka akhirnya akan mengatasi Malaysia jika tiada apa yang dilakukan di negara ini.
Katanya, untuk membolehkan Malaysia memperbaiki diri, maka ia mesti menyiasat hingga ke akar skandal 1MDB dan skandal rasuah utama yang lain.
"Lebih penting lagi, kita mesti memperkenalkan pembaharuan struktur dan institusi serta perubahan minda dalam seluruh masyarakat supaya kita mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah," katanya.

