Muslimat PAS bantah pelupusan JAKIM
Muslimat PAS membantah sekeras-kerasnya terhadap mana-mana gerakan atau individu yang mendesak kerajaan untuk melupuskan institusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana dalam perlembagaan Perkara 3 (1) telah tertulis Islam adalah Agama Persekutuan.
“Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
"Muslimat PAS turut menegaskan bahawa penubuhan JAKIM yang dinaik taraf daripada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHIES) pada awalnya sebagai satu implementasi butiran dalam Perkara 3 (1) sejak dari tahun 1997 hingga kini," kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Salamiah Mohd Nor dalam satu kenyataan akhbar.
Justeru, katanya, kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mesti menyatakan pendirian terhadap isu JAKIM itu.
Semalam, perdana menteri pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya berkata kerajaan akan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan JAKIM.
Dr Mahathir berkata gambaran salah yang diberikan sesetengah pihak mengenai Islam di negara ini bukanlah kehedak agama.
Malah, katanya, banyak larangan yang ada dalam Islam, tidak diamalkan. Sebaliknya, kata beliau, sesetengah pemimpin lebih cenderung memaparkan kononnya Islam adalah agama yang cukup keras dalam pelaksanaannya.
"Dengan perkataan lain kita lebih suka memaksa daripada ajaran Islam yang berkata, tiada paksaan dalam Islam," katanya.
Walau bagaimanapun Salamiah, tidak bersetuju dan berkata JAKIM adalah sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan.
"Justeru kami Muslimat PAS bertanggungjawab untuk menyeru dan mengajak semua pihak terutama Muslim seluruh Malaysia agar mengambil berat tentang gerakan yang tidak wajar ini.
"Kepada rakan-rakan bukan Islam, anda tidak perlu risau dan khuatir untuk mengamalkan agama masing-masing sebagaimana telah termaktub dalam Perkara 3 (1) di atas dan institusi Jakim sendiri hanya khusus untuk agama Islam, tidak mengganggu perihal agama lain," kata Salamiah.
Beliu juga berkata, muslimat PAS juga sangat berharap agar kerajaan baru Pakatan Harapan dapat memelihara kesucian agama Islam terutama dari sudut pelaksanaannya.

