‘Kalau bukan istana, siapa pihak lebih tinggi dari SUK Kelantan?’
Pemuda AMANAH mahu penjelasan lanjut susulan penafian Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad bahawa sekatan daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri ke atas naib presiden parti itu, Husam Musa dan pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah adalah arahan dari pihak istana.
"Kami memandang serius isu penghalangan ke atas pimpinan tertinggi AMANAH Kelantan dari memasuki pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan seperti notis yang tular sebelum ini.
"Lebih mengejutkan apabila pendedahkan bahawa arahan penghalangan itu bukanlah datang dari Istana Kelantan sebagaimana ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
"Bahkan menurut Nazran, arahan sekatan tersebut itu datang daripada ‘pihak yang lebih tinggi’," kata kenyataan itu, hari ini.
Pemuda AMANAH berkata, PAS Kelantan perlu memberi penjelasan siapakah yang mengeluarkan arahan menghalang kedua-dua individu tersebut.
Terdahulu sekeping notis pekeliling dikeluarkan pejabat setiausaha kerajaan negeri mengenai arahan sekatan terhadap Husam dan Wan Abd Rahim tular di media sosial.
Pada awalnya, Nazran mengesahkan arahan itu dikeluarkan oleh pihak istana sebelum dilaporkan menafikannya, semalam.
Justeru, Pemuda AMANAH Kelantan menuntut penjelasan berkenaan frasa "pihak yang lebih tinggi" daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
"Adakah ia merujuk kepada Datuk Ahmad Yakob selaku Menteri Besar Kelantan?
"Berdasarkan laporan akhbar semalam, ia membersihkan nama baik Istana Kelantan yang dipalit pelbagai persepsi buruk oleh kerajaan PAS Kelantan dalam isu penghalangan ini.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seluruh pimpinan kerajaan yang bertindak bacul, barbarik dan tidak bertamadun ini apabila tergamak menyekat pimpinan parti yang sah berdaftar dari memasuki pejabat-pejabat kerajaan," jelas kenyataan itu.
Tambah Pemuda AMANAH Kelantan lagi, tindakan jijik itu jelas mencerminkan kelemahan dan ketidakmatangan PAS dalam mendepani gelombang demokrasi yang baru sahaja melabuhkan tirainya dalam pilihan raya umum lalu.

