Ezam sertai semula Umno?
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus berjuang menegakkan keadilan meskipun pemimpin utama meninggalkan parti itu, kata Timbalan Ketua Penerangannya, Badrul Hisyam Shahrim.
Beliau berkata, sebelum ini beberapa pemimpin utama PKR termasuk bekas Timbalan Presiden, Chandra Muzafar dan bekas Ketua Wanita Marina Yusof meninggalkan parti tetapi perjuangan tetap diteruskan.
" Pemimpin boleh keluar masuk tetapi yang penting ialah perjuangan parti perlu diteruskan," katanya sebagai mengulas sepucuk surat yang mendakwa Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor sedang mengatur langkah untuk menyertai semula Umno.
Badrul Hisyam berkata, jika benar dakwaan itu, ia akan merugikan perjuangan yang diasaskan oleh beliau sendiri.
" Selama ini Ezam melaung-laungkan hasrat memperbaiki kerosakan negara. Jika beliau menyertai Umno ia boleh mensia-siakan perjuangan dan menjejaskan masa depan beliau dalam politik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Hisyam berkata, menyertai mana-mana politik adalah hak peribadi Ezam tetapi jika beliau menyertai Umno, para pejuang reformasi tidak akan menghormati beliau lagi.
"Sama ada Ezam kekal dalam PKR atau tidak, perjuangan untuk menegakkan keadilan serta memperbetulkan kerosakan negara yang semakin teruk sejak kebelakangan ini akan diteruskan," katanya.
Badrul Hisyam mengakui Ezam kurang mengikuti aktiviti Pemuda PKR kebelakangan ini termasuk tidak pernah menghadiri program mengedarkan risalah parti mengenai pembebasan Anwar sepanjang bulan Ramadhan lalu.
Menyepi diri
Penulis surat tersebut yang menamakan diri beliau sebagai ZY dari Wangsa Maju Kuala Lumpur juga mendakwa Ezam akan membuat pengumuman memasuki Umno pada minggu kedua Hari Raya Aidilfitri berserta dengan beberapa orang penggerak PKR termasuk jentera Bahagian Shah Alam.
Spekulasi mengenai kemasukan semula Ezam ke dalam Umno semakin bertiup kencang sejak kebelakangan ini kerana kurangnya `serangan' Ezam terhadap pemimpin-pemimpi Umno seperti yang dilakukan sebelum ini.
Pada peringkat awal pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno pada tahun 1998, Ezam dianggap sebagai wira anak muda yang bangkit menentang kezaliman Tun Dr Mahathir terhadap Anwar.
Bagaimanapun, sejak Anwar dibebaskan pada tahun lalu Ezam dikatakan lebih banyak membisu seolah-olah sudah bepuashati dengan pembebasan Anwar.
Dan ramai yang mengatakan kemasukan Ezam semula ke alam Umno adalah untuk memberi ruang yang lebih kepada kepulangan Anwar ke pangkuan Umno.
Dalam pada itu usaha malaysiakini untuk mendapatkan komen Ezam bagi mengesahkan dakwaan tersebut tidak berjaya.