Polis percaya Musa tiada di Sabah
Usaha mengesan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk diambil keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu masih giat dijalankan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.
Menurut beliau, sehingga hari ini Musa yang adalah pengerusi BN Sabah gagal untuk tampil memberi keterangan.
“Beliau masih belum hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati Musa dipercayai tiada di Sabah,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia di Kota Kinabalu, hari ini.
Ditanya mengenai lokasi terkini Musa yang juga adalah ADUN Sungai Sibuga, Ramli enggan menggulas lanjut.
Pada masa sama, belum ada waran tangkap dikeluarkan terhadap Musa pada ketika ini.
Musa, 67, hilang dari radar pihak berkuasa sejurus selepas dia disahkan tidak lagi mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Sabah walaupun sudah mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri.
Jawatan ketua menteri Sabah kini diisi oleh Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Walaupun tiada sebarang pengesahan, Musa dipercayai sempat meninggalkan negara ini sebelum namanya disenarai hitam, dan ada pihak mendakwa dia sedang berada di London.
Terdahulu, seramai sembilan saksi termasuk Juhar telah tampil memberi keterangan sepanjang siasatan dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

